KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu memenuhi tuntutan nafsu dan naluri semasanya selain dorongan teman lelaki yang kononnya sanggup berkongsi hidup sepanjang hayat, seorang lelaki nekad membuang alat kelaminnya di Thailand kira-kira 25 tahun lalu demi cinta terhadap kekasih songsangnya.
Namun, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Cinta Mohd Qairun Abidin, 47 (bukan nama sebenar) tersekat di tengah jalan dan kini dia mengalami kecelaruan jantina kerana tidak tahu apa akan berlaku kepadanya, terutama bagaimana dia dikebumikan jika dijemput ajal.
“Tiada kesudahannya. Selepas menanggung derita pembedahan demi kekasih, kita dikecewakan dan akhirnya hilang tujuan hidup yang boleh membuatkan kita hilang pedoman hingga cuba bertindak di luar batas agama kerana ingin bunuh diri.
“Tindakan melakukan pembedahan jantina biasanya berlaku akibat desakan naluri atau pihak ketiga kononnya kerana cinta, tetapi saya percaya dorongan pihak ketiga lebih kuat daripada naluri seseorang individu dan akhirnya individu itu akan menanggung derita sendirian,” katanya yang mengubah jantina melalui pembedahan.
Mohd Qairun atau dulunya dikenali sebagai Baby@Katie yang masih mempunyai nama lelaki pada kad pengenalannya mendakwa, pembedahan dilakukannya banyak mengubah cara hidupnya kerana membawa kebahagiaan, namun ia hanya bersifat sementara.
“Mungkin itu yang dikatakan kemewahan dan kesenangan dunia kerana saya akhirnya hanya memperoleh keseronokan sementara... betapa tidak, ketika itu saya menjadi pujaan ramai, malah memiliki teman lelaki yang berjanji sehidup semati.
“Namun bila kita sudah ‘berkedut’, semua janji tinggal janji dan akhirnya derita hidup ditanggung sendiri. Ketika itu segala sesalan tidak lagi berguna, kepada siapa kita hendak mengadu, kepada keluarga? Mereka juga dicerca masyarakat kerana tindakan saya. Akhirnya, kepada rakan ‘sealam’ juga saya kembali,” katanya.
Menceritakan keperitan hidup selepas menjadi ‘isteri’, Katie berkata, dia dan teman lelakinya tinggal sebumbung hampir 15 tahun dan sepanjang hidup bersama, kehidupan bersama seorang pengusaha restoran itu bahagia.
“Saya dibelikan kereta, dibawa berjalan ke luar negara dan diterima oleh sebahagian besar ahli keluarganya, malah dia menanggung pembedahan dan perbelanjaan harian saya.
“Memang ketika itu ada perkhidmatan pembedahan murah berhampiran sempadan Thailand iaitu di Hat Yai, tetapi ia disediakan secara haram.
“Kerana mahu pembedahan secara sah, saya terpaksa melakukannya di Bangkok, Thailand yang lebih murah berbanding di Singapura,” katanya.
Menurutnya, hampir setahun dia menderita akibat pembedahan, terutama ketika membuang air, namun semuanya diatasi dengan belaian dan kasih sayang diberi kaum sejenis hinggalah dia benar-benar pulih daripada kesan pembedahan.
“Ketika itu saya tidak menyesali tindakan membuang alat kelamin, malah bangga kerana mampu memiliki insan yang benar-benar menyayangi saya dan menjamin masa depan, namun kami masih menghadapi masalah untuk berkahwin akibat masalah dokumentasi dan konflik agama.
“Pernah kami cuba kahwin di luar negara tetapi dihalang keluarga, menyebabkan kami nekad untuk terus hidup bersama tanpa ikatan, namun panas yang disangka hingga ke petang tidak menjadi apabila teman lelaki mula beralih arah kepada orang lain yang juga pondan.
“Selepas 10 tahun kami bersama dan melakukan apa saja untuknya, saya ditinggalkan begitu saja, mengakibatkan saya terpaksa kembali bergelumang dalam dunia mak nyah jalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ‘kerjaya’ di lorong gelapnya tidak lama apabila dia mula beralih arah ke bidang lain, iaitu bidang perhotelan yang diteruskan sehingga sekarang.
“Mana tahan ketika itu, hampir setiap hari saya ditahan pihak berkuasa, namun ada ketikanya saya terlepas tindakan apabila mengaku sebagai wanita.
“Malah, ada anggota polis meminta maaf kepada saya kerana berkasar kerana menyangka saya wanita, namun ada kalanya saya tertangkap jika kad pengenalan saya diteliti,” katanya.
No comments:
Post a Comment