10 May 2012

Tips Penjagaan Rambut Bagi Wanita Bertudung





Kebanyakan wanita yang bertudung sering mengabaikan penjagaan dan kecantikan rambut mereka.Walaupun bukan semua, namun rata-ratanya begitu. Seharusnya anda yang bertudung perlulah menjaga kecantikan dan kesihatan rambut anda sama seperti mereka yang tidak memakainya. Mungkin mereka merasakan untuk apalah berambut hebat kalau ia akan ditutup dengan tudung sepanjang hari. Harap-harap janganlah anda berperasaan begini. Tidak mahukah anda tampil hebat di mata suami dan ahli keluarga anda?Tudung atau tidak bukan ukurannya. Yang penting sebagai wanita, anda tidak boleh menafikan istilah yang rambut itu adalah mahkota wanita. Sayangilah ia sama seperti anda menjaga kulit wajah dan penampilan diri yang lain.

Tidak dinafikan , wanita bertudung memerlukan penjagaan rambut yang lebih rapi dan menyeluruh berbanding wanita yang tidak bertudung. Keadaan kulit kepala dan rambut yang bertutup sepanjang hari boleh menjadi punca kepada kerosakan rambut jika tidak kena caranya.


Tambahan lagi jika rambut tidak mendapat cahaya matahari pagi yang bagus untuk kulit. Keadaan lebih buruk jika anda berambut panjang dan kerap pula mencuci rambut pada waktu pagi. Rambut tidak akan kering sempurn dalam masa setengah jam, tambahan lagi cuaca sejuk pada waktu itu.


Jika anda membiarkan rambut kering sebanyak 50 peratus dan kemudian terus mengikatnya sebelum mengenakan tudung, anda hanya mengundang petaka kepada rambut anda sendiri.Berikut adalah panduan yang boleh anda ikuti demi memastikan rambut anda kekal sihat dan cantik.


1)Tidak Perlu Mencuci


Kalau anda kebiasaan mencuci rambut setiap hari, ubahlah kebiasaan ini. Sebagai wanita bertudung , tidak sesuai anda mencuci rambut setiap hari. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk jika anda jika anda suka mencuci rambut pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja. Tidak kira bagaimanapun kadar kepanjangan rambut anda, ia tetap memerlukan masa yang lama untuk betul-betul kering sebelum mengenakan tudung. Walaupun anda menggunakan pengering rambut, rambut tetap tidak akan kering dengan sempurna secara menyeluruh.


Cadangan : Cucilah rambut sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu. Sebaiknya cucilah pada waktu petang.sebaik sahaja anda pulang dari kerja.Selebihnya cucilah pada hujung minggu.Keringkan rambut secara semulajadi.Biarkan ia lepas bebas dan elakkan daripada membungkusnya dengan tuala.


2) Pilih Kain Tudung Berfabrik Lembut


Kalau anda berkerja dari jam 9 hingga 5, bayangkan berapa lama anda harus menutup rambut anda dengan tudung. Oleh itu, jangan lupa memilih fabrik lembut untuk pemilihan tudung anda. Kini, fabrik bawal adalah pilihan paling popular. Elakkan memilih fabrik kapas. Kain tudung yang memerangkap haba tidak baik untuk keadaan kulit kepala dan rambut anda.


Cadangan: Kalau anda selesa, elakkan memakai serkup kepala. Pastikan tudung betul-betul dipin dengan selesa agar rambut tidak terkeluar.


3) Sentiasa Merawat Rambut


Sebulan sekali, periksa jika ada sel rambut mati atau hujung rambut yang terbelah. Jika anda membiarkannya, rambut akan menjadi lebih mudah gugur kerana tidak dirawat. Tidak hairanlah ramai wanita merungut rambut mereka yang lebat satu ketika dulu makin menipis hari demi hari. Ini semua kerana tindakan mereka yang tidak mahu menjaga kualiti rambut.


4) Atasi Masalah Rambut Jika Ada


Apapun masalah anda, jangan pandang remeh dan berharap ia akan hilang dengan sendirinya. Kalau anda tidak punyai kos yang cukup untuk mendapatkan rawatan di salun terkemuka, anda boleh mendapatkan nasihat dari pakar farmasi untuk syampu yang sesuai dengan anda, Perlu diingat, masalah pada rambut kadangkala bukan disebabkan oleh cara anda menjaga dan mengendalikanya sahaja, Bahkan ia mungkin disebabkan oleh penyakit lain. Masalah ini tidak akan selesai dengan sendirinya jika anda tidak mencari penyelesaianya.


Cadangan: Jika anda sudah selesa dengan satu syampu, kekalkanya. Dapatkan info yang betul tentang cara mencuci dan membilas rambut dengan sempurna. Cucian bukan hanya mengurut syampu di rambut dan membilasnya sekali lalu sahaja. Setelah mencuci dengan sempurna, pastikan anda mengeringkannya dengan betul kerana rambut yang bersimpul-simpul juga menjadi sebab mengapa rambut mudah rosak.


5) Berehat Dahulu Sebelum Membersihkan Diri


Sebaik sahaja sampai di rumah selepas bekerja mahupun dari beriadah, teruslah membuka tudung dan biarkan kulit kepala bernafas terlebih dahulu. berehatlah seketika dalam masa setengah jam sehingga peluh di tubuh dan kulit kepala anda benar-benar kering. Sebaiknya bukalah ikatan rambut anda dan biarkan angin meresap ke seluruh kulit kepala. Jangan pula membiarkan rambut terus bertudung atau jangan pula terus mandi sebaik sahaja sampai di rumah.


Cadangan: Waktu ini, sebaiknya anda berehat sepenunya . Jangan lakukan kerja kerana anda akan lebih berpeluh. Berbaringlah di atas katil dan bukalah penghawa dingin di bilik anda. Nikmatilah saat ini sebaiknya agar keadaan rambut dan kulit kepala anda betul-betul kering dan “rehat” dengan sempurna.

No comments: