17 April 2012

Pengajaran Dari Peristiwa Gempa Bumi

Pada hari Rabu tanggal 11 April 2012 kita semua sibuk bercerita tentang Majlis Penuh Istiadat Pertabalan Agung Yang Ke 14. Tiba-tiba kita digemparkan dengan tragedi gempa bumi yang berlaku di Lautan Hindi. Banyak negara dapat merasakan gegaran gempa bumi tersebut terutamanya di Aceh dan utara tanah air. Semua orang bimbang dan bersiap sedia untuk menghadapi tsunami setelah amaran tsunami dikeluarkan oleh badan-badan berwajib.






Ada yang lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri daribanjir besar tsunami, sebahagian yang lain berdoa agar peristiwa tsunami yang mengorbankan banyak penduduk Aceh tidak berulang dan berlaku kepada mereka. Ramai juga yang menyebarkan fitnah-fitnah kononnya tsunami telah melanda Aceh dan sebahagian negara Lautan Hindi dengan teruknya.
Saya  merenung jauh bagi memikirkan bencana yang berlaku ini. Apabila dilihat pada orang Islam sekarang, walaupun bencana itu datang dengan teruk sekalipun sehingga menenggelamkan dunia ini, kebanyakan mereka masih lagi tidak mahu bertaubat dan mengikut ajaran Islam yang sebenar. Mereka tidak langsung berasa takut dan ingin bertaubat dari segala kesalahan yang telah dilakukan. Cuba kita lihat dari peristiwa tsunami yang lepas, tidak ramai orang yang mengalami dan melihat sendiri bencana tersebut bertaubat dan yakin terhadap kekuasaan Allah. Yang peliknya ada sebahagian sarjana beragama Islam mengeluarkan kenyataan bahawa ini bukan dari Allah dan ini hanya semata-mata bencana alam.
Jika kita lihat dari Al-Quran banyak ayat-ayat yang menjelaskan Allah menurunkan bencana yang besar bagi menenggelamkan umat-umat nabi dan rasul terdahulu atas sebab keingkaran mereka. Adakah itu juga kita kategorikan sebagai bencana alam walaupun telah dinyatakan di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Ruum ; 41)
Jangan hanya kita bercerita dengan penuh perasaan tentang gempa bumi atau bencana yang berlaku sebelum ini dengan penuh rasa belas kasihan kepada mangsa yang terlibat. Selain dari itu kita menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban yang dialami oleh mangsa. Semua perbuatan ini bagus kerana kita menunjukkan sikap prihatin terhadap orang yang mengalami musibah tersebut. Alangkah baiknya jika kita bermuhasabah kembali kenapa Allah turunkan bala bencana seperti itu? Adakah disebabkan kejahatan yang telah dilakukan oleh manusia? Jika ya jawapannya, maka lebih baik kita bertaubat dan berusaha menjadi umat Islam yang bertakwa dan membuat sebanyak-banyaknya amalan kebaikan untuk bekalan kita menuju akhirat.
Alangkah ruginya kita, apabila kita mati nanti tidak ada amalan yang baik untuk dibawa ke akhirat bagi melepaskan kita dari dihumban ke dalam neraka. Di situ kita merayu dan menangis agar Allah melepaskan kita dari azab neraka agar dapat mengembalikan kita ke dunia untuk melakukan ibadah sebanyak mungkin supaya kita tidak dimasukkan lagi ke dalam neraka Allah. Tetapi pada waktu itu kita sudah terlambat dan Allah tidak mengindahkan rayuan kita kerana di dunia dahulu berbagai-bagai peringatan telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran, tidak cukup dengan itu Allah mengutuskan Rasul sebagai pembawa khabar kebenaran untuk sekalian umat manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (Apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan Kami dengan membawa kebenaran, maka Adakah untuk Kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi Kami atau (bolehkah) Kami dikembalikan (ke dunia) supaya Kami dapat beramal, lain daripada apa yang Kami telah kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.” (Al-Araf : 53)

No comments: